TAWAU: Hanya kerana perselisihan dengan bekas isteri, seorang lelaki sanggup memukul anak perempuannya berusia 14 tahun menggunakan objek keras hingga mangsa lebam dan trauma dalam kejadian, Isnin lalu.
Suspek berusia 42 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kurang tiga jam selepas laporan dibuat bekas isterinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata kejadian berlaku jam 9.30 pagi ketika mangsa berada di bawah jagaan neneknya.
“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan memukul mangsa di bahagian telinga kiri dan seluruh badan menggunakan objek keras berwarna kelabu.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan bekas isterinya berkaitan satu tuduhan yang dilemparkan terhadap wanita berkenaan di hadalan anak merek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang dalam kesakitan kemudian menghubungi ibunya yang berada di Kota Kinabalu untuk memaklumkan insiden berkenaan, sebelum wanita itu membuat laporan polis jam 5.41 petang hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan trauma akibat kejadian itu.
“Bertindak atas laporan, polis berjaya menahan suspek dan merampas satu gulung plastik kelabu dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya.
Jelas beliau lagi, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan, dan salah satu daripadanya pernah disabitkan dan dihukum.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan pendedahan terhadap kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Champin turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menjadikan konflik rumah tangga sebagai punca penderaan terhadap anak-anak.
“Sebarang bentuk penderaan fizikal atau emosi terhadap kanak-kanak boleh memberi kesan jangka panjang serta berdepan tindakan undang-undang.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya siasatan dan tindakan segera diambil,” katanya. – Info X