Search

KPDN Sabah tumpas sindiket penyelewengan diesel subsidi

July 16, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis ‘rahsia’ di Kampung Sindaanan, Kobusak, di sini, semalam.

Serbuan pada jam 6.53 petang itu hasil risikan selama seminggu dan aduan awam berjaya menemui 16,180 liter diesel bersubsidi, kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper serta pelbagai peralatan, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM53,527.00.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan.

“Premis itu didapati beroperasi tanpa sebarang lesen atau kebenaran sah untuk menyimpan barang kawalan.

“Siasatan awal mengesahkan ia digunakan bagi tujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota penguat kuasa KPDN Sabah sedang menyediakan dokumen sitaan dana sebuah di sebuah premis di Kampung Sindaanan, Kobusak, Penampang. Pix/KPDN

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan untuk tujuan melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga tanpa lesen sah.

“Turut disiasat mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan diesel di lokasi tanpa kebenaran pengawal.

“Sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun, manakala kesalahan kedua boleh didenda hingga RM3 juta atau penjara lima tahun. Bagi syarikat pula, denda mencecah RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengusaha stesen minyak yang menjual RON95 atau diesel bersubsidi kepada pihak tidak sah, dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana yang melanggar arahan di bawah Peraturan Kawalan Bekalan.

Tangki IBC yang disyaki berisi minyak diesel bersubsidi. Pix/KPDN

Shahril berkata, KPDN Sabah akan terus mempergiatkan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel diseluruh Sabah supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Sejak 1 Januari hingga 16 Julai 2025, sebanyak 1,179 kes diambil tindakan dengan nilai rampasan RM22.2 juta, selain RM276,250 dikenakan sebagai kompaun.

“Dari segi aduan, sebanyak 1,112 aduan diterima pengguna dan 92.7 peratus daripadanya telah diselesaikan, manakala 81 (7.3 peratus) aduan lagi masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, KPDN Sabah juga telah menjalankan sebanyak 82,322 pemeriksaan premis yang membabitkan 62,307 bandar dan 19,244 luar bandar.

“Orang ramai digesa supay sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membantu kementerian dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan ia dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara. – Info X