KINARUT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku tanpa lesen dan permit sah bernilai lebih RM35.4 juta dan menahan 29 individu dalam Operasi Taring Chiller yang dijalankan serentak di 10 daerah, semalam.
Operasi bersepadu bermula jam 9 pagi hingga 8 malam itu menyasarkan gudang penyimpanan dan pusat agihan utama yang dipercayai menjalankan aktiviti tanpa permit sah dan melanggar pelbagai peraturan pengurusan makanan.
Antara agensi yang terbabit dalam operasi itu iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Pertanian Sabah.
Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, seramai 275 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan.
“Hasil operasi, pasukan serbuan menahan 29 individu terdiri daripada 22 lelaki dan tujuh wanita, berusia antara 20 hingga 60 tahun.
“Tangkapan dibuat serentak di Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Tenom dan Keningau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA Briged Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, rampasan membabitkan pelbagai jenis produk ayam dan daging, makanan laut, serta produk sejuk beku seperti kentang goreng dan bebola daging, termasuk peralatan logistik seperti cold room, peti sejuk industri, mesin pemotong daging dan lori sejuk beku.
“Jumlah keseluruhan rampasan produk dan peralatan dianggarkan bernilai RM35,452,000, dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi melebihi RM12 juta,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 19 lokasi diserbu dalam operasi itu, dengan 15 premis dikenal pasti melakukan pelanggaran, tiga premis bebas kesalahan, manakala satu lagi tidak beroperasi.
“Antara enam kesalahan utama yang dikesan termasuk riada lesen perniagaan; melanggar Seksyen 15(1), Enakmen Kebajikan Haiwan 2015; melanggar Akta Makanan 1983; melanggar Seksyen 102 dan 103, Akta Kerajaan Tempatan 1976; melanggar Ordinan Pelesenan Perdagangan 1948; melanggar Peraturan 10(1), Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Tambahnya, semakan mendapati kebanyakan produk sejuk beku adalah keluaran tempatan dan tidak lagi menampilkan label negara luar seperti sebelum ini.
“Kita percaya produk itu dibungkus semula secara tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa. Fokus operasi adalah terhadap gudang simpanan dan pusat agihan, bukan kedai runcit atau stor jualan.
“Serbuan berkenaan dirancang hasil pemantauan dan risikan selama dua hingga tiga minggu, dan dilaksanakan ketika premis mula beroperasi pada awal pagi,” katanya.
Katanya lagi, majoriti tangkapan membabitkan pekerja gudang, manakala selebihnya adalah pemilik premis.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada.
“Operasi ini akan diteruskan secara berperingkat bersama agensi penguat kuasa lain. Objektif utama adalah untuk melindungi pengguna dan memastikan makanan yang dibekalkan selamat dan berkualiti,” katanya. – Info X