Search

Pakar UMS bantu selesai masalah air bersih di Pulau Kaniogan

July 17, 2025

Info X Reporters

BELURAN: Kesukaran mendapatkan bekalan air bersih dihadapi kira-kira 1,200 penduduk Pulau Kaniogan, di sini mampu diselesaikan menerusi pembinaan sistem rawatan air sedia ada di pulau itu.

Jaminan itu dijelaskan pasukan dari Makmal Hidup Rural Water Supply (RuWaS) Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjalankan kajian berhubung isu itu di pulau berkenaan, baru-baru ini.

Penyelidik RuWaS FST, Prof Kehormat Dr Kawi Bidin, berkata penyelesaian itu boleh direalisasikan menerusi kerjasama RuWaS dengan pelbagai pihak yang boleh menyalurkan dana atau sokongan lain.

Katanya pasukan penyelidik UMS sudah membuat cerapan potensi air bawah tanah, kualiti air dan potensi sistem rawatan dari sumber air sedia ada di pulau berkenaan.

Penduduk kampung di Pulau Kaniogan mengambil air telaga untuk kegunaan harian.

“Beberapa sampel air turut dikumpul untuk dibawa ke makmal bagi ujian seterusnya. Isu ini bukan saja melibatkan keperluan asas penduduk, malah memerlukan usaha kolektif dan komitmen jangka panjang demi kesejahteraan komuniti.

“Kami percaya bahawa dengan sokongan yang padu, kita mampu merealisasikan satu penyelesaian yang berimpak dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau keadaan di Kampung Kaniogan, baru-baru ini.

Beliau berkata, RuWaS mempunyai pengalaman dan teknologi yang sesuai untuk diaplikasikan di kawasan luar bandar.

Katanya, apa yang diperlukan hanyalah kerjasama serta sokongan kewangan untuk melaksanakannya secara berkesan.

Pulau Kaniogan dihuni kira-kira 1,200 penduduk yang berdepan masalah bekalan air bersih untuk kegunaan harian, termasuk untuk minuman.

Penyelidik UMS membuat penilaian air telaga di Pulau Kaniogan.

Ketua Kampung Kaniogan, Azmi Madlis, berkata penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari pekan Beluran, menyebabkan kos sara hidup mereka meningkat.

“Lebih membimbangkan kami, untuk mendapatkan bekalan air bersih, ia hanya boleh diakses oleh penduduk dengan menggunakan pengangkutan air sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Makmal Hidup RuWaS FST UMS pernah membangunkan beberapa sistem mikroloji bekalan air untuk kegunaan penduduk luar bandar di Pitas. – Info X