Search

Ular sawa tumpang ‘naik’ tayar kereta

July 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sepanjang lima meter ‘menumpang’ di bawah tayar kereta milik rakannya dalam kejadian di kawasan parkir Wisma UTC, Sembulan, di sini, petang tadi.

Pengadu kemudian segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk bantuan menangkap reptilia berkenaan yang melilit di bahagian bawah kereta jenis Proton Saga.

Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.18 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat ular di bawah tayar kereta milik rakannya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ular sawa berkenaan bersembunyi di celah absorber,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota APM Kota Kinabalu menangkap ular yang menumpang di bawah tayar kereta yang parkir di kawasan parkir Wisma UTC, Sembulan, Kota Kinabalu.

Menurutnya, dua anggota lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) menggunakan penjerut khas untuk menangkap ular itu dengan berhati-hati.

“Operasi menangkap ular itu berjaya dilakukan dalam tempoh kurang 15 minit tanpa sebarang kecederaan kepada orang awam atau haiwan berkenaan.

“Ular sawa seberat kira-kira 10 kilogram itu dipercayai dari parit berhampiran sebelum ‘berehat’ di bawah kenderaan,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.43 petang. – Info X