BURGOS, SEPANYOL: Siapa sangka, gadis kecil dari Sabah ini mampu menggoncang dunia tarian antarabangsa apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas akhir Dance World Cup 2025, di sini, yang berlangsung 3 hingga 12 Julai lalu.
Ivana Iman Mohammad Ezral, 10, mencipta kejutan luar biasa apabila berjaya meraih pingat perak dalam kategori Solo Ballet Klasik, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua acara penuh berprestij itu.
Lebih membanggakan, Ivana satu-satunya wakil termuda dalam kategori berkenaan dan tampil bersaing hebat dengan penari elit dari kuasa besar dunia seperti Jerman, China, Bulgaria, Romania dan United Kingdom.
Persembahannya yang penuh emosi, bertenaga dan bercerita, memukau juri bertaraf dunia hingga diberikan markah tinggi dan mengatasi ratusan peserta lain.

“Ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi ini satu detik bersejarah buat negara.
“Melihat ketekunan, teknik dan penceritaan sebegini daripada anak kecil dari negara yang bukan kuasa ballet… ia sangat luar biasa,” kata seorang juri profesional.
Pertandingan yang digelar sebagai ‘Olimpik Tarian Belia’ itu menyaksikan lebih 120,000 peserta dari 70 negara bertanding.
Namun hanya yang terbaik mara ke pentas akhir di Burgos, Sepanyol.
Ivana, yang berasal dari Kota Kinabalu, adalah penuntut Sekolah Kebangsaan St Agnes dan menjalani latihan di Ballet by Nora, sebuah akademi ballet tempatan yang kini mendapat perhatian selepas pencapaian membanggakan itu.
“Ini hanyalah permulaan. Ivana bukan sekadar menari, dia membakar semangat sebuah negara,” kata ahli keluarganya. – Info X