Search

Lampu jalan banyak rosak, ‘City of Lights’ tidak sesuai – Warisan KK

July 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menyifatkan pelancaran ‘City of Lights’ di KK Sentral, di sini, baru-baru ini sebagai sesuatu yang ironi berikutan banyak lampu jalan rosak di sekitar bandar raya ini.

Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong mempersoalkan program anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu yang dilihatnya sebagai bertentangan dengan situasi sebenar pencahayaan bandar raya.

“Saya bukan menentang idea untuk menerangi KK Sentral, ia adalah satu permulaan yang baik.

“Tapi kita jangan lupa bahawa sebuah bandar raya moden dan hidup yang sebenar akan memastikan infrastruktur asas seperti lampu jalan berfungsi dengan baik untuk penghuninya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Samuel Wong.

Katanya, DBKK mungkin bertanggungjawab terhadap lampu jalan di sekitar pusat bandar raya, manakala kebanyakan jalan seperti Bundusan, Jalan UMS, Jalan Pintas dan Jalan Lintas di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa lain.

Bagaimanapun, katanya jalan raya terbabit masih jalan utama yang hampir dengan pusat bandar raya dengan keadaan banyak lampu jalannya rosak sejak bertahun lama, sekali gus mengundang kerisauan mengenai aspek keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya pernah bangkitkan isu ini sejak Disember 2024 tetapi tiada penyelesaian yang betul dilaksanakan sehingga ke hari ini.

“Sama ada ia tanggungjawab DBKK, JKR atau mana-mana pihak berkuasa, mesti ada yang mengambil tindakan.

“Kita memanggilnya ‘City of Lights’ tetapi jika memandu di sekitar bandar raya, kamu akan dapati ia seperti bandar raya lampu rosak. Tiang lampu hanya umpama hiasan,” katanya.

Beliau berkata, menerangi hanya satu kawasan bandar raya tidak mengubah kenyataan bahawa ramai penduduk bandar raya terpaksa memandu dalam keadaan gelap di sekitar bandar raya, bukan hanya di pinggir bandar raya.

Samuel menggesa pihak DBKK dan JKR untuk melaksanakan audit di sekitar bandar raya bagi mengesan lampu jalan yang tidak berfungsi dan melaksanakan pembaikan.

“Apabila setiap jalan utama di KK diterangi dengan baik, maka selepas itu barulah kita boleh bercakap mengenai ‘City if Lights’ yang sebenar.

“Penduduk bandar raya lebih memerlukan sebuah bandar raya yang hidup dan selamat berbanding pelancaran besar-besaran dan skrin LED,” katanya.

Sementara itu, katanya, walaupun usaha untuk menghidupkan semula KK Sentral dialu-alukan, ia seolah-olah mewakili satu peluang yang terlepas.

Katanya, bangunan itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya sebagai hab transit pusat sistem Bas Transit Rapid (BRT) atau pusat pengangkutan bersepadu menghubungkan Kota Kinabalu dengan daerah berhampiran.

“Agak malang apabila kita memilih untuk memberi fokus kepada penaiktarafan kosmetik, berbanding menyelesaikan isu pengangkutan yang serius,” katanya. – Info X