Search

‘UMNO Sabah sudah jadi parti tempatan’ – Ahmad Maslan

July 18, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Isu UMNO parti Malaya tidak sepatutnya timbul memandangkan usianya di Sabah sudah melebihi 34 tahun, kata Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, sebagai parti yang sudah lama bertapak di negeri ini, ia sudah menjadi parti tempatan kerana dipimpin oleh orang Sabah sendiri.

Atas sebab itu, katanya sentimen yang mengaitkan UMNO Sabah sebagai parti luar atau parti Malaya tidak sepatutnya timbul lagi di negeri ini.

“UMNO di Sabah bukan parti Malaya, UMNO di Sabah sudah menjadi parti lokal. Apabila sudah berumur 34 ke 35 tahun bererti kita tidak boleh sebut UMNO sebagai parti Malaya lagi.

“Ia adalah parti lokal dan parti nasional, itu adalah sebutan yang paling sesuai untuk menggambarkan UMNO dan BN di Sabah adalah parti lokal dan parti nasional, itu sifatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis makan malam bersama pimpinan UMNO Lahad Datu sempena lawatan kerjanya ke daerah ini pada Selasa lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menjawab tuduhan dilemparkan terhadap UMNO yang dianggap sebagai parti luar kerana berasal dari Semenanjung oleh pemimpin parti lawan.

Sementara itu, Ahmad optimis UMNO boleh memenangi semula semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketika ini Parlimen Lahad Datu mempunyai empat kawasan DUN iaitu Silam, Segama, Tungku dan Kunak.

Keempat-empat DUN itu dimenangi Parti Warisan ketika PRN16 pada September 2020.

Namun, Segama yang dimenangi bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi kini diwakili UMNO selepas beliau menyertai parti itu sejak awal 2023. – Info X