KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, melalui SMJ Energy (SMJE) bakal memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion di Sipitang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia berikutan pemeteraian Perjanjian Induk (HOA) dengan PETRONAS di Malaysia Petroleum Club (MPC), di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Katanya, ekuiti itu adalah satu lagi pencapaian penting dalam memastikan matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, menggalakkan pertumbuhan industri, keselamatan tenaga dan mewujudkan peluang baharu bagi menggerakkan kemajuan negeri.
“Menerusi pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri sambil memastikan hasil sumber asli Sabah terus memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian HOA berkenaan.
Kemudahan ZLNG yang mempunyai kapasiti dua juta tan metrik setahun (MTPA) itu adalah tambahan penting kepada landskap LNG Malaysia.
Lokasi pembinaannya terletak berhampiran pantai di Sipitang dan dijangka memulakan operasi pada separuh kedua 2027.
Hajiji berkata, projek itu akan melengkapkan lagi kehadiran LNG di Sabah yang turut merangkumi dua lagi kemudahan LNG terapung, iaitu PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang kini beroperasi di perairan negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri turut berhasrat untuk memperoleh 40 peratus kepentingan penyertaan dalam PFLNG1 menerusi SMJ Energy, dengan proses penilaian menyeluruh dijangka bermula pada separuh kedua 2025.
Sejak termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada Disember 2021, trajektori pertumbuhan SMJ Energy menunjukkan sangat pesat.
Kini, syarikat itu memiliki 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC, 10 peratus ekuiti dalam LNG9, 25 peratus ekuiti dalam kompleks petrokimia SAMUR serta pemilikan penuh ke atas Sabah International Petroleum (SIP), yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.
SMJ Energy juga memegang hak ‘free carry’ dan ‘back-in’ dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).
Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat, berkata SMJ Energy adalah pelabur kewangan yang berhemah dengan pendekatan berdisiplin dalam membina portfolio.
“Penyertaan SMJ Energy dalam ZLNG adalah sebahagian daripada perancangan strategik untuk terus mempelbagai dan memperkukuh kedudukan kami dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.
“Peluang ini selari dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai stabil dan jangka panjang daripada aset yang berkualiti tinggi serta berkeupayaan menjana pulangan,” katanya.
Aspirasi Sabah dalam sektor hiliran juga berkembang dengan pesat yang mana Sabah Energy Corporation (SEC), selaku pengumpul dan pengedar gas negeri, memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan gas domestik yang stabil kepada industri di Sabah.
Antara projek ikoniknya termasuk membekalkan gas kepada loji keluli hijau bernilai RM31 bilion milik E-Steel di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), iaitu pelaburan utama dalam menyokong langkah Sabah ke arah kepelbagaian industri. – Info X