SEMPORNA: Cubaan menyeludup masuk ratusan ekor udang bernilai puluhan ribu ringgit dari Filipina ke daerah ini berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM), dalam satu operasi di perairan Pulau Sibangkat, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, hasil maklumat risikan membolehkan anggota PPM Semporna mengesan dan menahan empat buah bot yang dinaiki lapan warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas bot terbabit menemui 824 ekor Udang Lipan (Mantis Shrimp) dan Udang Karang (Lobster) yang cuba dibawa masuk secara haram dari negara jiran.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek cuba menyeludup masuk hasil laut itu dari Filipina ke Semporna.
“Semua suspek ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Jabatan Perikanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, anggaran nilai rampasan hasil laut berkenaan mencecah RM116,290 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
Sementara itu, dalam operasi berasingan yang dijalankan pada hari sama, beliau berkata, pasukan operasi turut mematahkan cubaan menyeleweng minyak sawit mentah (CPO) apabila berjaya merampas lebih 600 liter minyak sawit dan menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang sindiket.
“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah lori bonded jenama Isuzu yang membawa muatan tangki dan tong berisi CPO.
“Operasi bersepadu itu dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu, dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM124,100,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri berkata, nilai keseluruhan rampasan kes CPO oleh PPM Sabah bermula Januari hingga kini telah mencecah RM12.47 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras sebarang bentuk penyeludupan di perairan negara,” katanya. – Info X