KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden seorang pelajar perempuan yang meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama, sebuah sekolah di Papar.
Menterinya, Fadhlina Sidek, menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook beliau pada Jumaat, berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap insiden itu.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menghormati privasi keluarga mangsa.
“Pada waktu ini kejadian sedang berada dalam siasatan pihak polis. Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Oleh itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh mengganggu siasatan.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya yang turut melawat keluarga mangsa bersama warga KPM di hospital.
Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas pemergian pelajar terbabit.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.
“Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk dalam aspek sokongan psikososial,” katanya.
Berdasarkan kes yang viral di media sosial sejak semalam, seorang pelajar perempuan dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Papar.
Berdasarkan komen pengguna Facebook, sebelum insiden berkenaan, pelajar tingkatan satu itu didakwa menjadi mangsa buli.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian berkenaan. – Info X