RANAU: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menyelamatkan
tiga pendaki Gunung Kinabalu mengalami kecederaan kekejangan otot dan terseliuh kaki dalam kejadian di kilometer 3, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa membabitkan terdiri seorang wanita berusia 18 tahun dan dua lelaki masing-masing berumur 19 dan 26 tahun yang dilaporkan sukar bergerak dan memerlukan bantuan untuk turun ke kaki gunung.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dan pegawai termasuk MOSAR, Malim Gunung serta Renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, ketiga-tiga mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB MOSAR bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan kaedah ‘piggyback carry’ dan pengusung Robinson Stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang. – Info X