KOTA KINABALU: Yang Dipertua Persatuan Pedagang Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Sabah, Datuk Junaidi Abdul Rahman berharap tiga persatuan Dewan Perniagaan di negeri ini diberi peluang bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu membangunkan ekonomi Sabah.
“Peluang yang ada termasuk pelaburan dari luar negara melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) harus diberi peluang kepada ahli-ahli persatuan.
“Adakalanya kami terlepas pandang perkara seperti ini.
“Oleh itu, kita ada syorkan kepada Ketua Menteri agar duduk sebagai satu lembaga pelaburan Sabah agar kami dapat turut serta dan memperoleh maklumat awal, seterusnya memaklumkan kepada ahli-ahli,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Majlis dianjurkan dengan kerjasama bersama PERDASAMA, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM Sabah) dan Dewan Perdagangan dan Industri Asean (ACCI Sabah).
Terdahulu, seramai 38 anak yatim dari rumah kebajikan diraikan dengan sumbangan daripada ketiga-tiga Dewan Perniagaan terbabit.
Mengulas lanjut, Junaidi memaklumkan pihaknya juga sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk usaha ke arah membantu membangunkan ekonomi Sabah.
“Kita ini sebagai aur dan tebing sama-sama membangunkan Sabah. Jadi, sebarang kerjasama amatlah dihargai,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung isu pelaksanaan gaji minimum, pihaknya akur dengan sebarang ketetapan kerajaan.
“Sebagai peniaga, kita kena akur apa yang patut dilakukan.
“Kami sebagai Dewan Perniagaan jika kerajaan tetapkan perkara itu, kami akur kepda kerajaan punya arahan, ” katanya. – Info X