KOTA KINABALU: Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) digesa menyumbang semula kepada universiti sama ada dalam bentuk kewangan atau konsultasi bidang kepakaran masing-masing.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin berkata, perkongsian ilmu daripada semua alumni yang berjaya adalah sumbangan yang tidak ternilai bagi memberi motivasi dan membantu pelajar UMS menjadi graduan yang berjaya kelak.
“Dalam masa yang sama, ia juga secara tidak langsung mampu mewujudkan jaringan sosial yang kuat antara pelajar dan alumni sekaligus membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada mereka apabila tamat pengajian.
“Segala sumbangan murni dalam bentuk kewangan pula akan disalurkan ke tabung khas bagi membantu pelajar kurang berkemampuan, membiayai aktiviti-aktiviti pelajar dan alumni, kebajikan pelajar serta pelbagai lagi aktiviti berteraskan pembangunan holistik pelajar,” katanya.
Raman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Alumni UMS di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Dihadiri 100 alumni UMS, sebanyak 200 bakul makanan turut disumbangkan Pertubuhan Alumni UMS kepada pelajar non-residen, selain sumbangan tiga unit komputer riba daripada Saputra Travel & Tours kepada tiga pelajar UMS yang berkeperluan.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr Rasid Mail; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr Mohammad Puad Bebit dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Mohd Raffie Janau.
Dalam ucapan sama, beliau menyatakan sumbangan alumni dalam memberi respon soal selidik juga memberi impak ke atas penarafan UMS seperti dalam penarafan QS World Ranking di bawah elemen reputasi organisasi.
“Universiti sentiasa terbuka kepada semua alumni agar dapat memainkan peranan yang lebih efektif dan aktif dalam pembangunan modal insan para pelajar universiti.
“Alumni adalah duta ataupun role model yang perlu sentiasa bersedia menyumbang semula berkaitan bidang kepakaran masing-masing untuk perkongsian bersama,” katanya. – Info X