Search

PPM TAWAU GAGALKAN CUBAAN SELUDUP DIESEL BERNILAI RM154,910

May 9, 2022

admin

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki menyeludup diesel berjumlah RM154,910 menggunakan lori tangki yang diubahsuai dalam serbuan di sebuah stesen minyak di daerah ini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pemeriksaan mendapati tangki kenderaan berkenaan sudah diubahsuai untuk menyimpab diesel dipercayai bagi tujuan penyeludupan.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM154,910 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Lelaki berusia 31 tahun berkenaan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau dan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ridzauddin memaklumkan pihaknya merampas tenggiling yang disimpan dalam kotak di kawasan pejalan kaki di Pelabuhan CIQ lama.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor tenggiling dalam kotak dan tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik tenggiling berkenaan.

“Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Dalam pada itu, Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan. – Info X