KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), telah menerima permohonan Usno untuk menyertai gabungan berkenaan.
Katanya, Usno telah memohon untuk menyertai GRS sejak Januari 2021 dan keputusan menerima parti itu dibuat pada mesyuarat ahli majlis tertinggi (AMT) gabungan berkenaan, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan berhubung permohonan beberapa lagi parti iaitu Kemakmuran Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) setakat ini masih lagi dalam perbincangan.
“Keputusan kita pada mesyuarat hari ini ialah untuk terima Usno yang telah memohon menyertai GRS pada Jan 2021, setahun setengah mereka menunggu.
“Kita juga telah menerima permohonan daripada KDM, LDP dan PCS, kita amat hargai permohonan mereka tapi biarlah kita bentuk persefahaman yang baik dulu.
“Bagaimanapun sebagai tanda penghargaan (kepada KDM, LDP dan PCS), kita akan libatkan mereka dalam program-program GRS dan kita juga akan menjemput mereka ke majlis pelancaran GRS pada 26 Mei nanti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat AMT GRS di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Presiden PBS Maximus Ongkili, Presiden STAR Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP Yong Teck Lee.
Terdahulu, Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata, majlis pelancaran gabungan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Katanya, pelancaran itu nanti bakal menjadi satu lagi era baharu politik Sabah apabila GRS ditonjolkan kepada rakyat. – Info X