Search

Pelajar dijumpai cedera parah di bawah bangunan, tidak sedarkan diri – Dr Yusof

July 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelajar yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Papar pada mulanya ditemui cedera parah dan tidak sedarkan diri pada hari kejadian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata berdasarkan maklumat dari pengetua dan guru-sekolah terbabit serta kronologi peristiwa, tidak jelas apa penyebabnya.

“Pelajar dijumpai cedera parah, tidak sedarkan diri di bawah bangunan sekolah sekitar jam 3 pagi.

“Walaupun bilik pelajar tersebut bersama pelajar-pelajar berada di tingkat tiga tetapi tiada siapa yang melihat kejadian tersebut, sama ada terjatuh atau bersama dengan individu lain kerana pelajar-pelajar masa itu sedang tidur.

“Bedah siasat (Post mortem) sudah dibuat untuk menentukan sebab kematian dan dalam siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Insiden menimpa pelajar perempuan yang berasal dari Sipitang itu tular selepas berita mengenainya dikongsikan di media sosial.

Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah turut melawat keluarga mangsa di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, semalam, setelah mengetahui insiden berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis tentu menyiasat untuk memmastikan sama ada berlaku unsur jenayah ( foul play) atau tidak.

“Jabatan Pendidikan pula perlu menyiasat dan mencari fakta dari segi keselamatan tempat, status psikologi dan kesihatan pelajar serta lain-lain faktor seperti ada unsur buli atau tekanan fizikal juga mental dan kita tunggu hasil siasatan.

“Namun demikian, peristiwa seperti ini perlu dijadikan sebagai iktibar, pengajaran dan perlu ada tindakan susulan yang konkrit bergantung dari laporan hasil siasatan,” katanya.

Katanya, beliau memandang serius perkara dan peristiwa seperti itu kerana melibatkan kematian pelajar di sekolah. – Info X