KOTA KINABALU: Seramai 56 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di bandar raya ini dan Tuaran yang bermula pada Rabu hingga semalam.
Operasi bersepadu yang membabitkan lapan siri serbuan menerusi ‘Operasi Mahir’ dan ‘Operasi Sapu’, dijalankan susulan risikan dan aduan awam mengenai kehadiran PATI di kawasan tumpuan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bermula jam 12 tengah hari dan berakhir jam 3.30 pagi itu disertai 38 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap 142 individu, seramai 56 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut akta imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa warga Indonesia, manakala selebihnya 53 warganegara Filipina membabitkan 16 lelaki dewasa, 12 wanita, 16 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mereka dipercayai telah melanggar peruntukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Semua tahanan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa usaha membanteras kehadiran PATI akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Katanya, jabatan ini turut menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan keberadaan PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti yang termaktub dalam Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“JIM Sabah akan terus memainkan peranan yang signifikan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan untuk berada dan bekerja di Malaysia,” katanya. – Info X