PAPAR: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar perempuan yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, di sini, Rabu lalu.
Mangsa berusia 13 tahun yang juga penghuni asrama sebuah sekolah menengah di daerah ini, dipercayai terjatuh dari bangunan sebelum ditemui kira-kira jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 8.16 pagi.
Katanya, mangsa kemudian segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari, semalam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan menyeluruh kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti semua aspek yang berkaitan.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menghormati privasi serta perasaan keluarga mangsa yang sedang berduka,” katanya.
Kamaruddin turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, insiden menimpa pelajar perempuan berasal dari Sipitang itu tular selepas berita mengenainya dikongsikan di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan netizen. – Info X