Search

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Padas

July 18, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang lelaki ditemui lemas di kawasan Sungai Padas, Kampung Saliwangan Lama, Batu 64½ di sini, hari ini.

Mangsa, Zusrin Saimon, 25, ditemui terapung kira-kira jam 11.03 pagi oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, mangsa kali terakhir dilihat pada 15 Julai lalu di rumahnya dengan pakaian yang sama seperti ketika mayat ditemui.

“Ahli keluarga tidak mengesyaki apa-apa kerana mangsa sering keluar rumah tanpa memberitahu dan kebiasaannya ke sungai untuk memancing atau ke hutan.

“Perahu milik mangsa turut ditemui terbalik sehari sebelum itu namun tidak menimbulkan syak kerana kejadian hanyut kerap berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah.

“Mayat dibawa ke Hospital Beaufort sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort turut membantu mengangkat mayat di lokasi kejadian. – Info X