Search

PRN17: AMANAH mahu tanding di Tanjung Aru, Sulabayan dan Lumadan

July 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga kerusi iaitu Tanjung Aru, Sulabayan dan Lumadan sedang dirunding untuk ditandingi Parti Amanah Negara (AMANAH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Seri Mohammad Sabu, berkata rundingan adalah di peringkat Pakatan Harapan (PH) dengan dua daripada lima kerusi yang disasar sudah selesai rundingan.

Beliau bagaimanapun belum mahu mendedahkan dua kerusi yang sudah selesai rundingan dan memberi jaminan AMANAH akan tetap utuh dalam kerjasama PH Sabah walau dalam apa suasana.

“Itupun belum pasti, ia cuma hasrat kita, sama ada dapat atau tidak di tempat yang disebut, itu kita serah kepada perundingan. Tapi, kami berjanji apa suasanapun, kita tetap ‘intact’.

“Kita ada dalam lima kerusi yang berada dalam sasaran kita, cuma pada masa ini yang selesai dalam dua, tapi yang dua itu kita ini dululah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya AMANAH bagi PRN17 Sabah, di sini, pada Sabtu.

Timbalan Pengerusi PH itu berkata, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi AMANAH hanya diketahui setelah keputusan muktamad ditandatangani ketua parti.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu, berkata AMANAH Sabah menetapkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi bagi memastikan kehadiran wakil parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kenapa AMANAH perlu bertanding? Hari ini AMANAH ada 18 kawasan daripada 25 kawasan di Sabah, ini menandakan bahawa AMANAH membuka ruang yang besar di Sabah dan gambaran sambutan baik serta diterima rakyat negeri ini.

“Atas sebab itu kita ambil bahagian dalam PRN Sabah dan berharap dapat tempat. Pada 2018 pertama kali kita bertanding, kemudian pada 2020, 2022 juga bertanding dan kali ini kita masuk sebagai salah satu parti penting,” katanya.

Mengenai calon, Lahirul berkata pihaknya menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi AMANAH untuk menentukan calon yang diyakini bagi menggalas cabaran parti itu pada PRN17 nanti. – Info X