Search

Pelbagai bantuan, insentif khas bagi memperkasa sektor pendidikan di Sabah

July 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkasa sektor pendidikan menerusi pemberian pelbagai inisiatif bantuan dan insentif khas kepada pelajar cemerlang di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara inisiatif terbaharu ialah pemberian Bantuan Yuran Peperiksaan MUET kepada semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan itu di Sabah.

Menurutnya, ia sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan pelajar tanpa beban kewangan.

“Hari ini, kita menyampaikan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan inisiatif kerajaan negeri menerusi Pejabat Tugas-Tugas Khas berkaitan pendidikan.

“Seramai 170 pelajar menerima anugerah termasuk 74 pelajar cemerlang STPM yang memperoleh 4A dan masing-masing menerima RM1,000 seperti dijanjikan dan diluluskan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Honorarium TPNS kepada pelajar cemerlang STPM dan MUET 2024 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), baru-baru ini.

Arifin turut memaklumkan seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias yang berjaya di peringkat kebangsaan turut menerima ganjaran RM3,000 atas kecemerlangan luar biasa yang ditunjukkan.

Katanya, sebanyak 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan kerajaan negeri setakat ini dalam usaha memastikan bidang pendidikan terus menjadi agenda utama.

“Kerajaan negeri juga melaksanakan inisiatif BAYU, iaitu bantuan yuran MUET sebanyak RM150 seorang untuk lebih 8,000 pelajar dengan jumlah keseluruhan RM1 juta.

“Ini bermakna pelajar kita yang menduduki MUET tidak lagi perlu membayar yuran kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Setakat ini, lebih RM13 juta sudah dibelanjakan bagi manfaat lebih 10,000 pelajar Sabah menerusi TPNS,” katanya. – Info X