Search

2 lelaki ditahan miliki 890 butir peluru, syabu dalam van

July 19, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas dikesan memiliki hampir 900 butir peluru pelbagai jenis dan dadah disyaki syabu dalam pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Timur, di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Unit MPV, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan tugas Snap Spotcheck di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemandu didapati tidak memiliki lesen memandu dan pemeriksaan lanjut menemui sepaket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.14 gram.

“Turut ditemukan dalam van itu, satu plastik hitam mengandungi kira-kira 890 butir peluru pelbagai jenis yang dipercayai milik penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua lelaki berusia antara 35 hingga 47 tahun itu ditahan serta-merta bersama barang rampasan sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, pihak polis akan terus memperhebat pemantauan dan operasi cegah jenayah di seluruh daerah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu pihak polis membanteras kegiatan tidak bermoral dalam komuniti,” katanya. – Info X