KOTA KINABALU: Kejohanan Boling Piala Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Kinabalu berlangsung meriah dengan penyertaan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta balai-balai polis sekitar daerah ini.
Program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah IPD itu bukan sekadar mencetus semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan warga pasukan keselamatan, malah menjadi platform mempromosi gaya hidup sihat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, gaya hidup sihat perlu dijadikan amalan terutama bagi anggota yang berdepan pelbagai cabaran dan tekanan kerja.

“Jagalah keluarga, bersukan ikut kemampuan dan sentiasa peka terhadap tahap kesihatan diri,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan, hari ini.
Beliau turut mengingatkan kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala termasuk aspek kesihatan mental yang sering dipandang ringan.
“Kita tak perlu tunggu sampai serius baru nak ambil peduli. Dapatkan nasihat dan sokongan awal daripada kaunselor,” katanya.
Kasim berkata, sukan bukan sahaja menyihatkan tubuh malah membentuk disiplin dalam diri.

“Setiap sukan, termasuk boling, ada nilai tersendiri yang mendidik kita lebih berdisiplin,” katanya sambil berkongsi kisah peribadinya pernah mewakili kontinjen Pahang dalam kejohanan boling dan memenangi kategori VIP pada 2023 dan 2024.
Bagaimanapun, beliau tidak menyertai kejohanan kali ini bagi memberi ruang kepada peserta lain termasuk wakil media yang turut dijemput.
Kejohanan menyaksikan pasukan Balai Polis Inanam dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala pasukan Ketua Polis Daerah KK menang dalam kategori VIP.
Acara diserikan dengan cabutan bertuah yang menceriakan semua peserta.
Kasim turut memaklumkan IPD Kota Kinabalu akan terus menganjurkan lebih banyak acara sukan seperti bola sepak, bola tampar, sepak takraw, badminton dan golf bagi memperkukuh semangat berpasukan serta memantapkan gaya hidup aktif warga IPD. – Info X