RANAU: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam kawasan belukar selepas tersasar ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Ranau Paragliding Park, Jalan Kompleks Sukan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.59 tengah hari itu, mangsa berusia 30 tahun itu dipercayai gagal mengawal arah luncurannya lalu jatuh di kawasan belukar tidak jauh dari lokasi pelepasan.
Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan berjaya keluar sendiri dari kawasan itu sebelum ketibaan pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.59 tengah hari sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati mangsa sudah keluar dari kawasan belukar dan sedang diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.31 tengah hari. – Info X