KOTA KINABALU: KTI Landmark Bhd mendapat kontrak bernilai RM130.6 juta bagi membina kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sabah di Papar.
Dalam laporan kepada Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, KTI Landmark berkata, anak syarikat milik penuhnya, KTI Sdn Bhd menerima surat penerimaan tender daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Kontrak itu bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027, iaitu membabitkan tempoh selama 24 bulan.
“Kontrak itu akan meningkatkan lagi dan mengukuhkan ‘order book’ sedia ada kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, KTI Landmark menjangkakan kontrak berkenaan bakal menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir pada 2025 hingga 2027.
KTI turut menyifatkan projek itu menandakan satu pencapaian penting dalam pertumbuhan berterusan syarikatnya.
Tambahnya, ia juga mencerminkan keupayaannya dalam melaksanakan pembangunan berskala besar serta pembangunan masa hadapan yang menyokong kemajuan industri pembinaan di Sabah. – Info X