KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) dalam mesyuarat di Menara Kinabalu, di sini, hari ini meluluskan secara prinsip projek tenaga dengan jumlah kapasiti 723MW bagi memenuhi permintaan jangka sederhana tenaga elektrik negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, projek terbabit ialah loji jana kuasa gas di Kimanis dan Tawau dengan jumlah kapasiti 360MW dan beberapa projek tenaga boleh diperbaharui berkapasiti 363MW merangkumi sumber tenaga hidro dan angin diberikan kelulusan bersyarat teknikal dan komersial.
Beliau menegaskan setiap keputusan yang dibuat oleh majlis itu mesti dilakukan secara seimbang dan berhemah.
“Ini adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri, keperluan sektor industri dan kemampuan pengguna untuk menanggung kos penjanaan tenaga yang berpatutan.
“Saya percaya, dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, MTS akan terus menjadi platform tertinggi dalam menyelaras dasar tenaga negeri secara bersepadu demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa beberapa projek ‘fast-track’ yang telah diluluskan dalam mesyuarat MTS tahun lalu kini mula menunjukkan hasil.
Antaranya ialah peningkatan jidar simpanan penjanaan tenaga daripada 10 peratus pada Januari 2023 (sebelum Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengambil alih kuasa kawal selia) kepada 17 peratus ketika ini dan dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus menjelang akhir tahun ini.
Projek ‘fast-track’ yang diluluskan oleh MTS turut menyumbang kepada pengurangan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) Sabah, daripada 363 minit dalam enam bulan pertama 2023 kepada 215 minit dalam tempoh yang sama pada 2024 dan seterusnya menurun kepada 162 minit dalam enam bulan pertama tahun ini.
Hajiji turut menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) diperkasa supaya dapat memainkan peranan lebih besar dalam landskap tenaga negeri. – Info X