SANDAKAN: Lima individu termasuk jurutera, penolong jurutera serta kakitangan dan bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), di sini, direman tujuh hari bagi siasatan kes rasuah kira-kira RM200,000 yang diterima daripada beberapa kontraktor sejak 2022.
Perintah reman terhadap tiga lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong di Mahkamah Majistret Sandakan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, pagi tadi.
Menurut sumber, kelima-lima suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah Ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 7 malam semalam.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa pegawai dan kakitangan PBT berkenaan dipercayai telah menerima wang rasuah secara pindahan wang ke akaun peribadi masing-masing sejak tahun 2022 sehingga kini daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di tempat mereka berkhidmat.
“Wang rasuah yang itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender melibatkan kerja-kerja di PBT berkenaan dari tempoh 2022 hingga 2025,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy Ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kelima-lima suspek terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X