Search

Jualan Rahmah Madani ditambah di seluruh negara

July 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jualan Rahmah Madani akan diperluas dan diperbanyakkan di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi tujuan itu peruntukan sedia ada untuk program jualan berkenaan ditambah sekali ganda lagi pada tahun ini.

“Jualan Rahmah MADANI 2025 telah disediakan RM300 juta. Bagi memperbanyak capaian program, peruntukan tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta.

“Peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 DUN, selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, di Putrajaya pada Rabu.

Peningkatan Jualan Rahmah Madani adalah antara lima langkah segera diumumkan Perdana Menteri bagi meredakan kos sara hidup rakyat.

Satu lagi langkah yang dilaksanakan, katanya ialah pengekalan kadar tol di semua lebuh raya di Semenanjung yang sebahagiannya sepatutnya dinaikkan kadar tol pada tahun ini.

“Tahun ini, 10 lebuh raya dijadual untuk kenaikan kadar tol sepertimana perjanjian. Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.

“Susulan itu, kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta. Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya. – Info X