SANDAKAN: Seorang lelaki ditemui tergantung di dalam stor rumahnya di Kampung Sim Sim, di sini, malam tadi.
Lelaki tempatan berusia 25 tahun itu ditemui tergantung oleh ahli keluarganya kira-kira jam 9.30 malam sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sandakan digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Sebaik tiba di lokasi, polis menemui seorang lelaki dalam keadaan tergantung di dalam bilik stor dan disahkan sudah meninggal dunia.
“Saksi kejadian adalah ahli keluarga mangsa yang juga individu pertama melihat keadaan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai mempunyai masalah kesihatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (DOK), Sandakan untuk proses bedah siasat,” katanya. – Info X