KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyifatkan Pengumuman Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat sebagai petunjuk asas ekonomi negara yang kukuh di bawah Kerajaan Madani.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajii Noor, berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif berteraskan rakyat itu yang bertujuan mengurangkan beban ditanggung rakyat.
“Ia menunjukkan bahawa Perdana Menteri benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata bantuan one-off RM100 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan serta peluasan jualan Rahmah Madani ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berita baik kepada rakyat.
Beliau turut menyambut baik penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, sebagai satu langkah yang menepati aspirasi rakyat.
“Pengisytiharan hari sebelum Hari Malaysia (15 September) sebagai cuti umum juga satu pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari istimewa ini untuk seluruh negara,” katanya. – Info X