Search

Kempen Internet Selamat dilancar di Limbahau

July 23, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Kempen Internet Selamat (KIS) diperluaskan ke Sabah bermula dengan usaha memupuk budaya penggunaan internet selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar sekolah.

Program itu yang dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di SMK St Mary, Limbahau, di sini pada Rabu disasar untuk memperkukuh literasi dan kesedaran digital dalam kalangan komuniti di Sabah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan, berkata penganjuran KIS di Sabah menandakan pendekatan strategik Kementerian Komunikasi menerusi MCMC.

Katanya, usaha itu bukan hanya tertumpu kepada capaian internet semata-mata tetapi juga memberikan penekanan kepada penggunaan internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Antara pengisian KIS termasuk sesi kesedaran keselamatan dalam talian, aktiviti interaktif serta latihan kepada guru bagi memperkukuh nilai dan jati diri pelajar ketika berdepan dengan cabaran menerusi alam siber.

“Kempen ini turut mencerminkan pendekatan ‘whole-of-nation’ di bawah kerangka Malaysia MADANI, yang menyaksikan MCMC berganding bahu bersama pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyampaikan mesej keselamatan digital secara berkesan.

“MCMC menyeru seluruh masyarakat dari kampung hingga ke bandar, dari Semenanjung hingga ke Sabah, untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini,” katanya.

Fahmi ketika melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) di SMK St Mary, Limbahau, Papar.

Jelasnya, internet bukan sekadar alat komunikasi tetapi medan untuk membentuk nilai, menyebar ilmu dan menyatukan rakyat.

“Mari kita pastikan ruang digital ini kekal selamat, beretika dan membina untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya. – Info X