TAWAU: Seorang lelaki cedera selepas diserang sekumpulan lelaki ketika sedang minum di sebuah restoran di tingkat tiga Fajar Club di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 30 tahun mendakwa dipukul 10 individu termasuk beberapa yang dikenalinya, malah seorang daripada suspek dilihat memegang pisau.
Mangsa ditumbuk di bahagian muka dan turut dipukul menggunakan gelas kaca tanpa diketahui motif serangan sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan dibuat, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau telah menggerakkan operasi bagi mengesan semua suspek dalam serangan berkenaan.
“Suspek pertama ditahan di Kampung Pukat, manakala suspek kedua ditahan di kawasan Takada.
“Baki dua lagi suspek ditahan di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau juga mendapati dua daripada empat suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Semua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya. – Info X