Search

Suami isteri ditemui rentung dalam bilik air

July 24, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Pasangan suami isteri rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sangkir, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa Mamat@ Jamrin Sinti, 47, dan isterinya Siti Noorijah Rashid, 47, ditemui di dalam bilik mandi rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Elge Bakuk berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Sebaik api berjaya dikawal jam 3.22 pagi, terdapat dua mangsa ditemui rentung di bilik mandi rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Sangkir, Kota Belud. – Pix/Bomba

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari jentera.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 4.55 pagi,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mayat kedua-dua pasangan suami isteri dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.

“Lelaki berkenaan bekerja sebagai penoreh getah dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X