KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menipu seorang individu membabitkan transaksi RM6,000 bagi membantunya mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran ‘Datuk’ dari negeri Pahang pada 2023.
Tertuduh, Ling How Ee, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang individu supaya memindahkan wang berjumlah RM2,500 ke akaunnya.
Wang itu didakwa sebagai bayaran bagi pembelian emas aksesori Baju Istiadat untuk membantu mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dari negeri Pahang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 19 April 2023 di HCBC Bank Cawangan Kota Kinabalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu individu yang sama untuk memindahkan wang sebanyak RM500 ke akaunnya bagi tujuan yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di HSBC Bank Cawangan Kota Kinabalu pada 20 April 2023.
Sementara itu, dalam pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menipu individu berkenaan untuk memindahkan wang sebanyak RM3,000 ke akaunnya, juga untuk membantu mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dari Pahang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di bank yang sama pada 17 Mei 2023.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut diperintah melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan dilarang menganggu saksi, manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada pihak mahkamah.
Mahkamah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapiee, manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Ngui & Associates. – Info X