Search

PGA Sabah rampas kayu balak, treler bernilai RM2.6 juta

July 25, 2025

Info X Reporters

Ranau: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kayu balak tanpa permit serta menahan dua treler yang membawa muatan berkenaan dalam serbuan di Kampung Rondogung, di sini, kelmarin membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM2.68 juta.

Serbuan jam 1.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Risik/Task Force Batalion 21 PGA Keningau bersama Jabatan Perhutanan Sabah cawangan Ranau, menerusi Op Bersepadu Khazanah.

Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan diketuai Inspektor Shariff Lamuin dijalankan selepas pasukan operasi mengesan pergerakan mencurigakan dua treler dari arah Jalan Tambunan-Ranau.

Datuk Abdul Rani Alias.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kayu balak berkenaan disyaki dipindahkan tanpa permit yang sah dan dipercayai melanggar syarat Jabatan Perhutanan Sabah.

“Pasukan operasi menahan dua treler jenis Nissan yang dipandu dua lelaki tempatan masing-masing berusia 43 dan 59 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 59 batang kayu balak dibawa tanpa sebarang dokumen sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kayu balak terbabit dibawa dari kawasan Kuala Tomani, Tenom dan dipercayai hendak dihantar ke sebuah kilang papan di Lohan, Ranau.

Pegawai serbuan menahan pemandu treler yang membawa muatan kayu balak tanpa permit.

“Nilai rampasan kayu balak pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM1,189,000 dan jumlah keseluruhan termasuk dua treler bernilai RM2,680,000.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kemudian kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan Sabah 1968,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan kayu balak serta aktiviti pembalakan haram akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan, penyelewengan dan penyeludupan. – Info X