KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah mahu akta anti-buli digubal segera bagi menangani kes buli daripada terus berleluasa.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, berkata kematian seorang pelajar sebuah sekolah menengah agama di Papar, baru-baru ini, dipercayai akibat buli wajar dilihat secara serius.
Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga ada lagi pelajar lain menjadi mangsa seterusnya berikutan ketiadaan undang-undang khas anti-buli.
“Kematian adik Zara Qairina Mahathir bukan sekadar cerita sedih. Ia adalah tragedi menyakitkan terutama jika terbukti benar bahawa Zara adalah mangsa buli di sekolahnya.
“Walaupun perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tapi dari cerita ibu mangsa, mangsa pernah mengadu kepada ibunya bahawa dia dibuli di sekolahnya.
“Kes seperti Zara dan banyak kes-kes lain yang tular sebelum ini sama ada di sekolah atau IPT berasrama menunjukkan buli boleh membawa kepada trauma, tekanan emosi, kecederaan serius malah boleh menyebabkan kematian.
“Tanpa undang-undang khusus banyak kes buli hanya dianggap sebagai ‘salah laku disiplin’ bukan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, sudah tiba masanya penggubalan Akta Anti Buli disegerakan kerana ia menyentuh aspek keselamatan pelajar, tanggungjawab institusi pendidikan dan keadilan untuk mangsa.
Jelasnya, dengan adanya Akta Anti Buli, mana-mana pihak terlibat termasuk sekolah, asrama atau institusi pendidikan akan dipertanggungjawabkan secara undang-undang jika cuai dalam menangani atau melindungi mangsa buli atau cuba menyembunyikan isu buli yang berlaku di tempat pengawasan mereka.
“Akta ini akan memberikan mesej jelas bahawa isu buli bukan kesalahan remeh, tapi jenayah serius dan tidak akan dikompromi walau di mana-manapun.
“Ia juga akan mengurangkan budaya buli senyap yang selama ini dianggap sebagai normalisasi dalam banyak institusi,” katanya.
Katanya, dalam kes terbaharu di Papar itu, disebabkan kejadian berlaku dalam kawasan sekolah, pihak sekolah perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan bukan cuba menyembunyikan fakta.
Jelasnya, masyarakat khususnya keluarga mangsa perlu tahu kebenaran di sebalik tragedi itu.
“Bayangkan kalau kawasan sekolah bukan lagi menjadi tempat selamat untuk ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar kerana kegagalan pihak terlibat dalam menangani isu sebegini.
“Ia memerlukan ketanggungjawaban semua pihak terutama pihak guru dan warden asrama untuk mencegah dan mengawasi perkara ini daripada berlaku terhadap mana-mana pelajar di bawah pengawasan mereka.
“Pihak sekolah perlu lebih bertanggungjawab dalam menunaikan amanah yang diberikan oleh ibu bapa dan kerajaan kepada mereka untuk melindungi pelajar.
“Kita tidak perlukan lagi kenyataan berbaur penyesalan. Kita perlukan tindakan segera dengan penggubalan Akta Anti-Buli.
“Sistem aduan mesti bebas dan terlindung. Pelaku mesti ditangani secara adil dan tegas,” katanya.
Beliau berkata, kehilangan anak bukan luka sehari dua, sebaliknya ia adalah luka yang menuntut seluruh sistem untuk bersama-sama memikulnya.
“Zara telah pergi tetapi biarlah kematiannya menjadi batas terakhir kepada kelalaian kita.
“Jika kita masih memilih untuk menangguh undang-undang ini, maka kita sedang membuka pintu kepada tragedi seterusnya dan kali ini, kita tidak boleh kata kita tidak tahu,” katanya. – Info X