KOTA KINABALU: Penutupan kecemasan terminal gas milik PETRONAS pada Rabu lalu menyebabkan bekalan gas ke beberapa stesen janakuasa terjejas dan memaksa Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) melaksanakan catuan bekalan.
Langkah itu menyebabkan beberapa kawasan di Sabah terpaksa dibekalkan elektrik secara bergilir sepanjang gangguan gas daripada PETRONAS.
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, berkata terminal gas milik PETRONAS melakukan penutupan kecemasan pada jam 2.11 petang pada Rabu menyebabkan bekalan gas ke beberapa stesen janakuasa sekitar Kota Kinabalu terjejas.
Situasi itu, katanya memaksa stesen janakuasa berkenaan menukar bahan api daripada gas kepada diesel, menyebabkan penjanaan tenaga ke grid Sabah dan Labuan mengalami pengurangan kapasiti sebanyak 60MW.
“Catuan bekalan yang bermula pada jam 2.38 petang sehingga jam 4.53 petang itu melibatkan pengguna di kawasan Pitas, Papar, Keningau, Kunak, Balung dan Tawau.
“Catuan bekalan kedua pula dilaksanakan pada jam 6.38 petang untuk kawasan Kudat, Pitas, Kota Marudu, Tuaran, Lok Kawi, Kimanis, Beaufort, Tenom, Nabawan, Beluran, Sandakan, Kunak, Semporna, Tawau dan Sebatik,” katanya.
Bagaimanapun, katanya bekalan dapat disalurkan semula sepenuhnya pada jam 9.36 malam hari yang sama.
“Sabah Electricity memahami kesulitan yang dialami oleh pengguna ketika berlaku gangguan bekalan elektrik serta memohon maaf atas kelewatan pemakluman kepada pengguna.
“Namun pada masa yang sama kami memohon kerjasama pengguna untuk turut memahami kekangan-kekangan yang dihadapi Sabah Electricity dalam memberikan perkhidmatan yang stabil kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan berkaitan gangguan bekalan boleh menghubungi Sabah Electricity melalui Sabah Electricity Careline 15444, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427 dan aplikasi Sabah Electricity. – Info X