KOTA KINABALU: “Saya tidak tahu apa erti pengkhianat, tapi walau apapun pengkhianatan yang dikatakan, saya tidak akan mengkhianati rakyat Sabah,” kata Datuk Seri Masidi Manjun.
Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu menjelaskan mengenai tuduhan mengkhianati mandat rakyat yang dilemparkan terhadap pemimpin parti itu.
Katanya, tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka tidak memberi kesan terhadap perjuangan Gagasan Rakyat kerana yakin ia selaras dengan kehendak dan aspirasi rakyat Sabah.
“Kalau kita faham aspirasi rakyat negeri Sabah, kita akan pilih tuntutan rakyat Sabah sebagai teras perjuangan politik kita.
“Bagi saya tuduhlah apa yang patut, tapi pada akhirnya rakyat yang menentukan sama ada kita pengkhianat atau sebaliknya.
“Rakyat yang akan menentukan sama ada kita layak terus mentadbir Sabah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Belia Wanis Gagasan Rakyat sempena Persidangan Agung Tahunan parti itu, di SICC, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Martin Idang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu majlis di Sandakan baru-baru ini menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pengkhianat dan tidak akan bekerjasama dengan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Gagasan Rakyat yang sebahagian besarnya dianggotai bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah parti komponen terbesar GRS.
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata Gagasan Rakyat menjadikan intipati lagu kebesaran negeri Sabah, ‘Sabah Tanah Airku’ sebagai landasan perjuangan.
“Begitu mudah bagi kita memahami matlamat perjuangan kita kerana hari-hari kita menyanyikan lagu Sabah Tanah Airku. Fahami lirik lagu itu kerana pada pandangan saya perjuangan politik kita ada dalam lagu berkenaan.
“Setiap bait lagu itu menjelaskan perjuangan kita. Kita sayang rakyat Sabah, itulah kenapa GRS antara asas kita ialah Sabah First, Sabah Diutamakan kerana ini amanah yang terkandung dalam lagu Sabah Tanah Airku,” katanya.
Katanya, lagu kebesaran Sabah juga menekankan erti merdeka yang membawa maksud kemerdekaan menyeluruh untuk Sabah termasuk pemikiran rakyatnya dalam menentukan apa yang baik untuk negeri mereka.
“Kita tidak mahu dipengaruhi anasir luar, kita kekal dengan pemikiran kita sendiri dan kerana itulah kita fokus parti tempatan, kita mahu dengan acuan kita sendiri.
“Kita mahu berkawan dengan sahabat lain, tapi atas syarat kita sendiri, kita yang tentukan syarat, bukan pihak lain,” katanya.
Beliau menekankan kesatuan rakyat berbilang kaum sebagai tunjang penting bagi Sabah. – Info X