KOTA KINABALU: Kekalkan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan di Pintasan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Itu antara perkara disuarakan Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda ketika menyatakan permintaan pergerakan itu pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di SICC, di sini, pada Sabtu.
“Pemuda pula, kita minta bilangan calonnya ditambah. Fairuz juga harus dikekalkan di Pintasan,” katanya.
Persidangan itu dirasmikan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.
Redonah yang mewakili pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat menyenaraikan tiga permintaan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Perkara pertama, katanya menekankan agar enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Dilantik yang mewakili wanita ketika ini ditambah.
Bagi Beliawanis pula, katanya mereka meminta agar diberi ruang untuk dilantik sebagai Senator, ADUN Dilantik atau menjawat jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ketiga, kita mahu supaya libatkan atau beri kuasa kepada kami menjadi ejen penyampai bantuan kerajaan berkaitan wanita dan belia sebagai rakan strategik kerajaan,” katanya.
Katanya, wanita tidak harus dilihat sebagai hanya pemenuh dewan dan peraih undi, manakala pemuda sebagai tukang sorak atau mengangkat bendera.
Beliau berkata, beliawanis juga bukan sekadar hiasan, sebaliknya semua sayap parti itu mahu sama-sama menyumbang tenaga.
“Jika kita benar mahukan Sabah yang dinamik progresif dan inklusif, keberanian politik mesti bermula hari ini.
“Kami bukan pelapis tapi, kami adalah pemimpin generasi masa kini. Beri kami ruang mencorak dasar membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi demi kemajuan Sabah, masa depan mesti dimulakan sekarang,” katanya. – Info X