KOTA KINABALU: Cabaran politik semasa yang menyaksikan ketidaktentuan di peringkat nasional menuntut golongan beliawanis untuk tampil sebagai benteng utama mempertahankan kepimpinan dan kestabilan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Berikutan itu, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang, menggesa seluruh anggota sayap wanita muda parti itu agar berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan dan disiplin organisasi.
Katanya, pegangan itu penting dalam menghadapi suasana politik negeri yang semakin mencabar menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Kepimpinan seperti ini tidak lahir setiap hari. Ia terbentuk daripada pengalaman panjang, keikhlasan perjuangan dan keteguhan prinsip.
“Kita tidak boleh membiarkan fitnah dan usaha jahat dari dalam atau luar menggugat kestabilan yang kita bina bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat di SICC, pada Sabtu.
Emmie turut mengingatkan bahawa tugas Beliawanis bukan sekadar bersuara tetapi bergerak secara strategik sebagai penyampai dasar kerajaan, pembawa mesej yang benar dan memperkukuh jaringan sokongan akar umbi.
“Beliawanis perlu menjadi perisai kepada kepimpinan, bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga menerusi tindakan yang berkesan dan berdisiplin,” katanya.
Mengulas isu keinginan sebahagian rakyat Sabah yang lantang mahukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo pada PRN17, Emmie menasihati agar semua pihak termasuk sayap parti terus menjunjung disiplin organisasi dan menghormati kebijaksanaan kepimpinan tertinggi dalam membuat keputusan.
“Kita bukan pembuat keputusan, tetapi penjunjung keputusan. Setiap langkah pimpinan bukan dibuat secara emosi tetapi atas pertimbangan dan kebijaksanaan seorang negarawan,” katanya sambil menzahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri dan Presiden Gagasan Rakyat.
Beliau turut menyeru agar seluruh jentera Beliawanis berdiri teguh dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan semangat yang tinggi.
“Tugas kita adalah untuk berdiri teguh, menggalas amanah, dan terus melangkah seiring arahan dengan penuh iltizam dan kepercayaan kepada hikmah pimpinan,” katanya. – Info X