PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta sebelum terbabas dan terlanggar tiang elektrik di Kilometer 25, Jalan Papar – Beaufort, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun yang menunggang motosikal jenis RS-X disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, ketika kejadian, pemandu Perodua Viva yang belum dikenal pasti dalam perjalanan dari Bongawan ke Papar dan hendak masuk simpang kanan.
“Mangsa yang berada di belakang dipercayai cuba memotong secara tiba-tiba dan terlanggar cermin sisi kanan hadapan kereta terbabit sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke lorong bertentangan dan terlanggar tiang elektrik.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat manakala pemandu Perodua Viva masih belum dikesan dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X