Search

100 penghuni tinggal sehelai sepinggang, 23 rumah musnah terbakar di Tuaran

July 26, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Sebanyak 23 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Mengkabong, di sini, petang tadi menyebabkan lebih 100 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu jam 3.34 petang.

Katanya, sepasukan 24 pegawai dan anggota dari BBP Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.

“Kebakaran membabitkan 24 rumah jenis tidak kekal dan 23 rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah rumah terbakar 50 peratus.

“Turut terbakar sebuah kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebahagian rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Mengkabong, Tuaran.

Menurutnya, pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan dua aliran dengan enam pancutan dari sumber air jentera dan jentera water tanker.

“Operasi memadam kebakaran terkawal jam 5.15 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X