KOTA KINABALU: Pengundi muda dijangka menguasai pola pengundian pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) berikutan jumlah mereka yang mewakili hampir 60 peratus daripada keseluruhan pemilih di Sabah.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan, berkata atas sebab itu Pemuda Gagasan Rakyat meletakkan usaha sebaik mungkin untuk menawan golongan berkenaan.
Katanya, sayap parti komponen utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu sudah mempersiapkan jentera untuk mendepani cabaran pengundi muda pada pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa itu.
“PRN17 adalah sebuah medan perang yang penting kerana hampir 60 peratus pengundi yang bakal menentukan hala tuju Sabah adalah tergolong dalam kalangan belia atau pengundi muda.
“Ini adalah sebuah angka yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa saja kerana 60 peratus anak muda ini adalah pengundi yang kelak akan turun membuang undi, sekali gus membuat pilihan mereka.
“Untuk itu, kita semua, dari Pemuda Gagasan Rakyat sudah sedia dengan jentera, hampir 90 peratus persiapan jentera kita sudah kita susun atur di semua peringkat dan semua 73 bahagian seluruh Sabah.
“Peranan anak muda ini bukan sekadar menentukan hala tuju dan masa depan Sabah, baik dari sudut calon sahaja, tetapi lebih penting adalah dalam ruang atau skop hala tuju kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, berkata Pemuda Gagasan Rakyat turut bertekad untuk berusaha lebih keras bagi memperhebatkan lagi jentera kempen PRN17.
“Rakyat boleh menilai dan melihat semua usaha kerajaan GRS dan untuk itu, saya mahu semua pemuda untuk terus kerja keras, kita tidak mahu fikir soal calon atau apa, tapi yang kita mahu fokus adalah bekerja untuk pastikan kerajaan sekarang dikekalkan.
“Saya mahu semua pemuda, dari peringkat akar umbi, di semua bahagian, pastikan kerja keras kita adalah dengan misi untuk membawa kemenangan dan menyokong kepimpinan presiden selaku Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Jangan persoal hal siapa jadi calon, dapat jadi calon atau tidak, dan semua yang berada dalam skop perbincangan kepimpinan tertinggi parti kerana itu bukan tugas kita.
“Tugas kita adalah bekerja keras, sebagai tulang belakang parti, taburkan bakti kita untuk parti, untuk negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Keahlian Pemuda Gagasan Rakyat di seluruh negeri ketika ini, katanya mencecah 90,000 orang. – Info X