Search

Pemandu maut, kereta bertembung lori di Ranau

July 27, 2025

Info X Reporters

RANAU: Seorang lelaki maut manakala penumpangnya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan sawit di Kilometer 45, Jalan Ranau-Telupid, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, Sylvester Pius Gulmit, 42, yang memandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Panginatan.

Penumpangnya, lelaki berusia 18 tahun, hanya mengalami cedera ringan dengan calar dan luka di badan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Telupid menuju ke Pekan Ranau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori sawit dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Kancil mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat, manakala penumpang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ranau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori, lelaki berusia 47 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X