Search

PRN17: Gagasan Rakyat Petagas siap sedia turun gelanggang

July 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas sudah siap sedia turun ke gelanggang bagi memastikan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas di tangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketuanya, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata jentera Gagasan Rakyat sudah digerakkan di seluruh bahagian itu bagi mendekati pengundi dan meraih sokongan mereka menerusi pelbagai program yang giat dilaksanakan menjelang pembubaran DUN yang dijangka tidak lama lagi.

Katanya, ia termasuk menggerakkan sistem gerak kerja G10 yang berfungsi mendekati, mengumpul data dan menjaga pengundi di kawasan masing-masing dengan hampir 7,000 pengundi sudah dikenal pasti di bawah jagaan setiap G10 Gagasan Rakyat Petagas setakat ini.

“Di peringkat bahagian kita telah bersedia di mana kita telah menggerakkan jentera G10 yang mana data setakat ini, yang saya dapat iaitu jagaan G10 kita adalah berjumlah hampir 7,000 orang pengundi.

“Selepas ini juga kita akan mengaktifkan Pusat-Pusat Daerah Mengundi (PDM) di enam PDM yang terdapat di kawasan Petagas dan selepas ini insyaAllah kita akan buat jelajah untuk memantapkan lagi peranan-peranan PDM tersebut dan sebagainya,” katanya ditemui media pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas perkembangan gerak kerja jentera Gagasan Rakyat Petagas menjelang PRN17 sejajar jangkaan pembubaran DUN tidak lama lagi seperti dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dan Presiden Gagasan Rakyat.

Isquzawan berkata, baru-baru ini pihaknya turut memanggil setiap ketua ejen kaunter dan pengundian atau PACA yang mewakili semua PDM di sekitar DUN Petagas.

“Tujuannya untuk memberi mereka taklimat dan persediaan bagi menghadapi PRN17 kerana kena ingat bahawa PACA ini memainkan satu peranan yang penting.

“Ia adalah ‘last defence’ kepada sesebuah parti apabila berdepan pilihan raya nanti. Ini kerana apabila selesai membuang undi, PACA adalah orang di benteng terakhir untuk memenangkan calon di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Gagasan Rakyat Petagas diterima baik oleh seluruh masyarakat di kawasan itu yang merangkumi pelbagai kaum, antaranya Bajau, Kadazandusun dan Brunei.

Atas semangat kesatuan, katanya Gagasan Rakyat Petagas juga bergerak seiring dengan parti komponen GRS yang lain di Petagas seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Baru-baru inipun kita telah mengadakan program bersama wanita GRS di Petagas dan kita percaya rakan komponen GRS sendiri juga akan memberi sokongan kepada kita.

“Seterusnya, sekiranya kita bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN17 nanti, insyaAllah merekapun akan memberikan sokongan yang baik kepada kita.

“Sebabnya kita tidak pernah ada masalah dengan pihak mereka, malahan mereka ‘willing’ untuk bantu kita dan kitapun akan membantu mereka juga,” katanya.

Mengenai soal calon bagi kerusi DUN Petagas, Isquzawan berkata perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan kepemimpinan tertinggi Gagasan Rakyat untuk membuat keputusan. – Info X