Search

Bantuan RM300 sebulan untuk rakyat miskin, miskin tegar akan diteruskan – Hajiji

July 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR), iaitu bantuan tunai RM300 sebulan kepada rakyat miskin dan miskin tegar yang diperkenal tahun ini akan dilanjutkan jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pada masa ini program itu hanya dilaksanakan untuk tempoh setahun iaitu sepanjang tahun ini.

“Saya harap ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan GRS bersatu hatilah, Sabah ini adalah tanah air kita, insyaAllah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan dilaksanakan mulai tahun depan.

“Kita hebatkan lagi program untuk rakyat, kita teruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat yang sekarang menerima RM300 sebulan untuk satu tahun.

“Kita akan teruskan sampai bila-bila. Selagi kita berkuasa, banyak program akan kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Selain itu, katanya Rumah Mesra SMJ juga akan ditambah lagi pada tahun depan, manakala bantuan untuk wanita, pemuda dan beliawanis terutama untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan akan diberi dan ditambah baik.

“Tidak pernah dalam sejarah Sabah, dasar, polisi dan bantuan yang sebegitu banyak dilaksanakan, hanya berlaku dalam kerajaan GRS.

“Kerana itu, di samping membangunkan ekonomi, kita jangan lupa mereka yang tidak mampu di bawah, ini kewajipan kita.

“Program kebajikan rakyat akan dihebatkan lagi pada masa akan datang, pembangunan ekonomi dirancakkan supaya peluang kerja dapat diwujudkan.

“Dalam kerajaan GRS, puluhan ribu pekerjaan diwujudkan agar anak-anak kita tidak lagi ke Kuala Lumpur, negeri lain atau negara luar mencari kerja,” katanya.

Katanya, ramai anak Sabah berhijrah ke Kuala Lumpur dengan ada antara mereka bekerja di hotel walaupun memiliki ijazah dan diploma kerana peluang kerja yang tidak mencukupi di negeri ini.

Atas kesedaran itu, katanya kerajaan negeri pimpinannya berusaha membawa masuk pelabur menerusi program mesra pelabur untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Sabah seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan. – Info X