Search

Polis masih siasat kes kematian Zara Qairina

July 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.

Mangsa, Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar tingkatan satu, ditemui kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, untuk rawatan lanjut.

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari, keesokan harinya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

“Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus dari semua sudut.

“Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kenyataan ini adalah yang kedua dikeluarkan oleh polis selepas kenyataan pertama pada 18 Julai lalu berhubung kes kematian Zara Qairina.

“Ketika ini, siasatan masih diteruskan dan sedang dijalankan secara berterusan oleh pihak polis,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.

Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru, turut menyuarakan harapan agar siasatan dilakukan secara adil, saksama dan telus terhadap kematian anaknya.

Insiden itu mencetuskan gelombang kesedihan dan desakan keadilan bukan saja dalam kalangan rakyat Sabah, malah di seluruh negara.

Ketika ini, tanda pagar #JusticeForZara terus tular di pelbagai platform media sosial sejak minggu lalu sebagai solidariti orang ramai terhadap nasib menimpa remaja itu. – Info X