KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan sudah memberi lampu hijau buat masa ini kepada mana-mana individu untuk menjadi calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agungnya, Datuk Julita Majungki, berkata sebarang kenyataan mendakwa PBS menamakan atau menyokong individu tertentu bukan daripada parti dan tidak mewakili pendirian rasmi parti itu.
Katanya, proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon berpotensi masih dijalankan dan akan diputuskan secara kolektif oleh kepemimpinan PBS.
“Semua pengumuman rasmi mengenai pencalonan hanya dibuat melalui saluran yang betul dan mesti datang daripada pemangku presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
“Mana-mana kenyataan yang dibuat tanpa pihak berkuasa ini adalah salah dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, satu kenyataan menyebut bahawa PBS mengesahkan pemilihan Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Fredian Gan yang dinamakan sebagai bakal calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.
Kenyataan itu dibuat tanpa memetik pemangku presiden atau mana-mana pemimpin atasan parti itu sebagai sumber bagi mengesahkan pemilihan berkenaan.
Julita berkata, PBS juga menggesa semua bahagian dan cawangan parti itu untuk meneruskan persiapan masing-masing menghadapi pilihan raya dan menumpukan usaha mengukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi.
Beliau turut menggesa media dan orang ramai untuk mendapatkan kepastian terhadap sebarang maklumat dengan sumber rasmi parti bagi mengelak kekeliruan dan salah maklumat.
Sementara itu, katanya PBS juga bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kerjasama GRS – Pakatan Harapan (PH) pada PRN17.
“Ini mengambil kira bahawa GRS mesti menjadi rakan dominan seperti dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat di antara Pengerusi GRS dan presiden parti komponen, termasuk dengan pemangku presiden PBS.
“Saya juga mahu menjelaskan ketudakhadiran pemangku presiden PBS pada perasmian Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini kerana beliau berada di Beaufort untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan lima bahagian PBS di sana.
“PBS diwakili pemimpin senior termasuk Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, Datuk Dr Yee Moh Chai dan saya sendiri,” katanya. – Info X