Search

O.6 juta penduduk Sabah, Labuan berdepan catuan elektrik dari 1-7 Ogos – SE

July 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih setengah juta isi rumah di Sabah dan Labuan dijangka terjejas berikutan penurunan kapasiti janaan tenaga elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) selama seminggu, bermula 1 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata penurunan sehingga 195MW itu disebabkan penghentian sementara bekalan gas oleh PETRONAS bagi kerja penyelenggaraan pelantar gas pesisir dan terminal gas di Kimanis bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos ini.

Berikutan itu, katanya sepanjang tempoh berkenaan SE terpaksa melaksanakan catuan yang dijangka membabitkan seramai 200,000 pengguna berdaftar SE dan lebih 600,000 isi rumah di seluruh Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, penghentian sementara bekalan gas oleh PETRONAS itu menjejaskan dua loji janakuasa bebas (IPP) di Kimanis iaitu Kimanis Power Sdn Bhd (255MW) dan SPR Energy (100MW) yang bergantung kepada gas PETRONAS sebagai bahan api utama.

Jelasnya, kekurangan janaan tenaga tidak timbul jika loji janakuasa terbabit boleh menggunakan diesel sebagai bahan api sementara, namun ada janakuasa di IPP terbabit tidak dapat menggunakan diesel.

“Kedua-dua loji menghadapi masalah untuk menukar operasi daripada gas kepada diesel, menyebabkan kekurangan kapasiti tenaga sebanyak 195MW sepanjang tempoh penyelenggaraan dilakukan PETRONAS.

“Perbincangan sudah dibuat sejak awal tahun ini membabitkan SE, Suruhanjaya Tenaga, ECoS dan PETRONAS, namun, maklumat yang kami terima malam tadi menyatakan bahawa satu unit janakuasa utama di Kimanis dan keseluruhan loji SPR Energy tidak dapat beroperasi menggunakan diesel seperti yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat berhubung situasi bekalan elektrik di negeri ini, di sini, pada Rabu.

Berikutan itu, Yaakob berkata, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan catuan bekalan elektrik secara besar-besaran.

“Catuan itu akan dilaksanakan secara bergilir terutama pada waktu kemuncak penggunaan elektrik antara jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kita menjangkakan gangguan akan berlaku secara berjadual mengikut kawasan, dengan purata gangguan antara satu hingga dua jam setiap hari sepanjang tempoh itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merayu agar PETRONAS menangguhkan kerja penyelenggaraan ke satu tarikh baharu, dengan mengambil kira cuaca panas ketika ini yang menyebabkan permintaan tenaga meningkat.

Katanya, ia juga bagi memberi ruang kepada dua IPP terbabit untuk bersedia sepenuhnya menukar operasi sementara janakuasa kepada diesel bagi mengelak gangguan bekalan elektrik. – Info X